Hidup ini umpama roda,setinggi mana pun kita berdiri jangan lupa untuk melihat rumput di bawah. Tak selamanya kita akan terus berada di atas dan bila-bila masa sahaja kita akan berada di bawah bersama mereka yang lain. Ketika itu,barulah kita tahu untuk menilai yang mana baik mahupun buruk. Sesekali lihatlah ke kiri,kanan,atas dan bawah agar diri kita tahu untuk menghargai orang yang berada di sekeliliing kita.
Menghargai orang bukan bermakna kita perlu menghadiahkan mereka dengan pujian melangit tetapi cukuplah sekadar ucapan “terima kasih”. Dengan ucapan seperti ini ia sudah memadai dan membuatkan orang di sekeliling rasa dihargai. Sebelum ingin diri kita dihargai, belajarlah untuk menghargai orang lain terlebih dahulu.
Ucapkan Terima Kasih
“Terima kasih sebab membantu saya.” Sedapnya bila mendengar ucapan tersebut kepada orang yang banyak membantu kita selama ini. Ucapan seperti ini sebenarnya boleh membuatkan mereka rasa dihargai. Sudahlah si dia membantu kita hingga penat lelah, namun ucapan terima kasih pun susah nak cakap. Aduh! hati betul-betul kering. Apa salahnya kita mengucapkan kata-kata itu, bukan berat sangat pun. Justeru itu kita perlu belajar meringankan mulut untuk menyatakan sesuatu yang lebih mesra agar orang di sekeliling tidak berasa kecewa dengan sikap kita.
Bantu Ahli Lain
Walaupun dilantik menjadi seorang ketua di dalam sebuah kumpulan, kita juga perlu turun padang dan bersama-sama membantu ahli yang lain melaksanakan tugasan. Dilantik sebagai ketua bukan hanya untuk memantau ahli-ahli yang lain semata-mata, sebaliknya kita juga harus bertindak untuk memastikan tugasan tersebut berjaya.
Hargai Kerja Orang Lain
“Arghh! Lembaplah kau ni! Salah pulak tu! reti ke tak kau buat kerja?” Pergh. Pedas sungguh ayat kita ketika melontarkan kata-kata tersebut. Boleh dikatakan menusuk ke lubuk hati malah lebih daripada itu. Kita perlu tahu untuk menjaga hati dan perasaan orang lain. Cuba kalau kita berada di tempatnya, apa yang kita rasakan? Mesti sedih dan sakit hati bukan? Begitu juga dengan mereka. Jangan kita fikir marah kita sahaja, sekurang-kurangnya kita juga perlu menghargai penat lelah mereka ketika menyiapkan tugasan tersebut. Walaupun hasilnya tidak begitu meletup, namun mereka berjaya juga menghasilkannya dengan baik.
Memahami Masalah Yang Dihadapi
Belajarlah untuk memahami orang lain sebelum kita ingin orang lain memahami diri dan tugas kita. Jangan bertindak meletakkan kesalahan di bahu rakan sepasukan berbanding diri kita sendiri. Bahkan kita merasakan bahawa kitalah yang betul dan mereka pula yang salah, sedangkan kita tak tahu apa masalah yang dihadapi. Walaupun kita bertindak sebagai seorang ketua, namun kita harus memahami mereka yang berada di bawah penyeliaan kamu. Cara ini sebenarnya mampu mengeratkan hubungan kita dan rakan-rakan yang lain. Sekurang-kurangnya mereka tahu yang kita memahami masalah mereka.
Bekerjasama
Semangat setia kawan itu penting bagi membentuk sesebuah kumpulan.Sekiranya semangat ini tidak ada, maka hancur dan kacau bilaulah pasukan tersebut. Sebagai seorang ketua, kita perlu bijak menangani masalah yang ada dan tahu untuk menguruskan ahli-ahli di bawah kita. Kita perlu membahagikan tugas dengan adil, barulah pasukan kita berjaya mencapai matlamat sebenar dan menuju ke arah yang sama. Bukan mudah sebenarnya untuk menyatukan kesemua ahli kumpulan agar mereka bersatu. Setiap orang mempunyai
pelbagai kerenah dan pandangan masing-masing. Oleh itu peranan kita memang amat penting.
Jangan Pentingkan Diri
“Kau kena ingat aku ni ketua dalam kumpulan kita, jadi apa-apa pun tanya aku terlebih dahulu!” Amboi,berlagaknya. Kadangkala kita sendiri menyampah bila mana kita berhadapan dengan orang seperti ini bukan? Lagaknya mengalahkan orang besar pula. Tolonglah, kita hanya ketua di dalam kumpulan yang kecil sahaja dan bukan besar mana pun. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri. Ada kalanya, bagi mereka peluang untuk menyatakan pandangan mereka. Suka atau tidak, kita nyatakan dengan baik agar pandangan kita itu diterima. Jangan pula kita menengking dan menghamburkan kemarahan kita akibat tidak berpuas hati.
Shared from REMAJA, KARANGKRAF :)
pergh, mati-mati aku ingat ko yang tulis...btw, TQ for sharing...nice giler...
ReplyDeleteeh, ko ada edit-edit sikit ark? hahaha, aku rasa mcm ada...hohoho...